Nation
321

Tutup kilang di Selangor bukan di bawah PBT

Shah Alam – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa bagi menutup kilang dalam membendung penularan COVID-19 kerana kuasa tersebut di bawah kerajaan persekutuan, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han.

Ng berkata Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) tidak menerangkan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.

Beliau berkata walaupun seksyen berkenaan dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera dalam lesen pada waktu ia dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

“Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja.

“Ia tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berhubung penggunaan peruntukan Akta 171 khususnya Seksyen 107(2) untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT.

Ng berkata penentuan Tatacara Pengendalian atau prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi serta dikuatkuasakan melalui Akta 342 sejak 18 Mac tahun lepas.

Katanya, ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di hampir seluruh Selangor.

Beliau berkata walaupun Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 pada 3 Mac lepas namun ia bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa menutup kilang.

“Pindaan itu dibuat bagi membolehkan pegawai kesihatan persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan kerajaan persekutuan,“ katanya.

Ng berkata secara kesimpulannya, PBT di Selangor menjalankan tugas secara telus dan bertanggungjawab mengikut parameter undang-undang serta doktrin kedaulatan undang-undang dan perlakuan yang adil dan saksama melalui peruntukan Akta 342, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu