Kuala Lumpur Post

Nation

TVET sebelum Tingkatan Empat libat implikasi tertentu, masih dalam perbincangan : PM Anwar

KUALA LUMPUR — Cadangan supaya pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula sebelum Tingkatan Empat, masih dalam perbincangan kerana ia membabitkan beberapa implikasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanpa memperincikan implikasi terbabit, Perdana Menteri berkata, TVET yang dilaksanakan mengikut tahap ketika ini adalah memadai berikutan kapasiti program itu juga terbatas.

“Laporan jawatankuasa Kabinet setuju, peringkat ini (adalah) selepas Tingkatan Tiga. Untuk ia (TVET) ke bawah lagi, memang dalam diskusi kerana ada implikasi lain.

“Tetapi kalau bermula selepas Tingkatan Tiga, saya ingat permulaan satu ke dua tahun ini cukup dan memadai,” katanya pada sesi dialog selepas merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Anwar menjawab soalan dikemukakan seorang peserta yang mencadangkan keperluan program TVET dilaksanakan bermula dari sekolah rendah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi bidang berkenaan. Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meminta ahli akademik di universiti untuk mengkaji dan menerokai bidang baharu seiring hasrat kerajaan menarik lebih banyak pelaburan luar.

Beliau berkata, langkah itu bertepatan dengan usaha memenuhi keperluan industri yang menyaksikan beberapa syarikat gergasi antarabangsa telah bersetuju untuk meningkatkan pelaburan di negara ini.

Mengenai konsep ‘post normal time’ pula, Anwar berkata, setiap perkara yang ingin dilaksanakan seperti proses tender, masih memerlukan peraturan tertentu tetapi dilakukan dalam tempoh singkat mengikut kesesuaian.

“Saya buat ‘test case’ untuk Kabinet yang biasanya mengambil masa satu tahun setengah berdasarkan pengalaman lama. Saya minta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) bawa kepada menteri dan ke Kabinet, kita lulus dalam masa dua bulan.

“Proses masih dibawa sebab saya tidak mahu bertolak ansur soal tender kerana banyak sangat kecurian, rundingan yang merugikan kita berpuluh bilion ringgit setahun.

“… (tetapi) kalau tender proses biasa lapan bulan untuk buat keputusan, kita adakan kaedah dan cara lebih baik, sama ada tender prakelayakan terpilih 10 syarikat yang melepasi syarat tertentu, boleh diluluskan dalam tiga bulan atau maksimum empat bulan,” katanya.

Anwar berkata, sama seperti yang dilaksanakan jawatankuasa Kabinet selepas setiap kali mesyuarat mingguan berlangsung, laporan akan dikemukakan dalam tempoh satu hingga dua minggu saja bagi setiap kementerian membuat ulasan masing-masing, berbanding terdahulu tiga hingga enam bulan.

Wacana Strategi KPT selama dua hari itu bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik, mencadangkan program atau inisiatif, serta membincangkan isu strategik berkaitan kementerian berkenaan serta cadangan penyelesaian bagi tahun ini.

Tags: ,