Nation
438
0

Ubah suai ekzos hingga datangkan bunyi bising boleh dipenjara, denda

Kuala Lumpur – Pemilik kenderaan yang didapati membuat kesalahan mengubah suai ekzos sedia ada hingga mendatangkan bunyi bising akan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan selain berhadapan hukuman denda sehingga RM2,000.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata kesalahan itu termaktub di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

“Kaedah itu menyatakan setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.

“Jadi bagi sesiapa yang membuat pengubahsuaian itu sehingga mengganggu ketenteraman awam didapati melakukan kesalahan di bawah kaedah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkara itu termaktub di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, turut memberi kuasa kepada polis bagi menyita motosikal kepunyaan pemilik bagi mengelakkan kesalahan itu berulang.

“Dengan itu, pihak polis boleh bertindak menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mampu mengambil langkah-langkah menjamin supaya kesalahan tersebut tidak berulang lagi,” katanya.

Azisman berkata pihaknya turut akan mengadakan operasi bersepadu yang dijalankan dalam masa terdekat bersama-sama jabatan serta agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Menerusi operasi itu, setiap motosikal akan diukur bagi mengenal pasti sama ada pemilik mematuhi paras bunyi ekzos yang dibenarkan. Kompaun kemudian akan dikeluarkan pihak JAS sekiranya paras bunyi itu melebihi daripada ditetapkan, ” katanya.

Azisman turut mengingatkan perkara itu bukan hanya tertakluk kepada pemilik motosikal bahkan turut melibatkan pemilik kenderaan bermotor yang lain supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya melibatkan sebarang pengubahsuaian kenderaan bermotor. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu