Nation
152

Umno junjung kasih, sokong pendirian Agong agar parlimen segera bersidang

Kuala Lumpur – Titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin jelas membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan baginda dan Raja-Raja Melayu terhadap keresahan rakyat mengenai pelbagai krisis yang sedang melanda negara, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka itu dan beliau amat menghargai kecaknaan baginda yang mengambil kira segala isu serta pendirian parti yang dipersembah ketika sesi menghadap pada 11 Jun lepas.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan seperti tuntutan moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekali gus memulihkan semula ekonomi negara.

“UMNO juga turut mempersembah pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara sedangkan tanpa darurat, kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Semasa Persidangan Raja-Raja Melayu petang tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu