Politics
351

UMNO kekal putus hubungan dengan BERSATU

Kuala Lumpur – Keputusan UMNO menghentikan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sukar diubah, kerana hal itu dibuat berdasarkan permintaan suara akar umbi parti itu dan bukannya pendirian peribadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan kerjasama dengan parti termasuk BERSATU sudah jelas diumumkan, ketika Perhimpunan Agung UMNO.

“Tiga hari lepas, Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan parti itu sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan di antara UMNO dan PPBM (BERSATU), bagi mendepani PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15).

“Pihak mereka beritahu mereka boleh mengatur perjumpaan, bagi mencari titik penyelesaian terhadap kemelut yang berlarutan.

“Apa yang ingin saya katakan keputusan tiada kerjasama dengan PPBM bukan keputusan peribadi. Ia diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO.

“Perkara yang telah diputuskan ini bukanlah boleh dibawa bincang semula di meja rundingan dengan sebegitu mudah kerana melibatkan suara akar umbi dan perwakilan UMNO,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Kenyataan itu mengulas mengenai satu laporan berita yang memetik Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, pihaknya bersedia mengatur perjumpaan di antara UMNO dengan BERSATU, demi mencari titik pertemuan dalam usaha menyelesaikan kemelut kedua-dua parti.

Nik Muhammad Zawawi berkata, perpecahan UMNO, PAS dan BERSATU akan menjejaskan kedudukan orang Melayu Islam di negara ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap apa yang diputuskan oleh UMNO difahami pihak lain.

Beliau berkata, mereka juga perlu faham bahawa kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah dibentuk ketika orang Melayu dan Islam diinjak-injak semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Gabungan itu (MN) pada masa itu adalah tulen, jujur dan penuh semangat. Kerjasama berkenaan melibatkan antara tiga juta ahli bersama sejuta ahli. Dan, bukannya kerjasama antara sejuta ahli dengan 500 orang,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu