Politics
197

UMNO tangguh pemilihan sehingga 18 bulan

Petaling Jaya – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula esok, lapor Utusan Online.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

“Pada 30 Jun 2021 ini genap tiga tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula.

“Namun, mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Ahmad berkata, beliau telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah ROS dan surat-surat jawapan telah diperoleh baru-baru ini.

“Intipati surat jawapan mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara maya.

“Namun, disebut dalam surat juga sekiranya tidak boleh dibuat secara dalam talian, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal,” katanya.

Ahmad menjelaskan, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara online di semua peringkat.

“Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah yang benar,” katanya.

Malah katanya, terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO meliputi 21,135 mesyuarat di peringkat cawangan, 21,058 mesyuarat peringkat cawangan wanita, 15,496 mesyuarat cawangan pemuda dan 8,598 mesyuarat peringkat cawangan puteri.

Katanya, terdapat 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat iaitu di peringkat bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Walaupun demikian, Ahmad berkata, mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 korum (25 peratus kehadiran) masih perlu dibuat termasuk secara maya.

“Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat 1/4 kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” katanya.

Kata Ahmad, penetapan untuk tarikh mesyuarat cawangan empat peringkat tanpa pemilihan perlu diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

“Mesyuarat ini boleh diadakan dengan kehadiran hanya 1/4 (25 peratus) daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet.

“Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh prosedur operasi standard (SOP). Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada ibu pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada ROS,” katanya.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu