Nation
829

UMNO tarik balik sokongan kepada PN, Muhyiddin

Kuala Lumpur – Bagi menzahirkan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yg ternyata gagal.

“Majlis Kerja Tertinggi UMNO sudah sebulat suara menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri berdasarkan fasa 3.3 perlembagaan Umno,” jelasnya dalam sidang akhbar sebentar tadi. – K! ONLINE

Berikut kenyataan penuh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi secara maya pada 3 Ogos 2021 bersamaan 24 Zulhijjah 1442H telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
3 Ogos 2021

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu