Nation
141

Usaha lonjak pembangunan Sabah, Sarawak dipergiat di bawah RMK-12 : PM

Kuala Lumpur – Pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), selari komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.

Ismail Sabri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.

“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.

Seperti diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.

Menyentuh aspek penjagaan kesihatan, Ismail Sabri menjelaskan dalam RMK12, perkhidmatan berkenaan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak, selain pembinaan 26 klinik baharu di kedua-dua negeri itu.

“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Perdana Menteri berkata pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.

Selain itu, projek jalan dari sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Immigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022, katanya.

Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, Perdana Menteri berkata aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar, manakala infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu