Nation
1K

Usul undi percaya PM di Parlimen tak perlu : Tun M

Langkawi – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen tidak lagi perlu dilakukan kerana memberi risiko berulang pergolakan politik dalam negara.

“Saya tidak fikir perkara itu (elok dilakukan) kerana kita tak nak tukar sekali lagi Perdana Menteri.

“Kalau ke Parlimen, dia (Ismail Sabri) tak dapat majoriti, (Perdana Menteri) kena tukar lain dan dunia ketawakan kita,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat segera di Parlimen.

Sementara itu ketika mengulas slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenal Ismail Sabri, beliau berkata, slogan itu perlu disusuli cara bekerja oleh pemimpin dan rakyat.

“Kalau tukar slogan, tapi buat kerja macam itu juga tak guna… mengarut sahaja dan kita khuatir dia (Ismail Sabri) boleh bawa cara baharu atau tidak.

“Kalau kita lihat dari segi penyokong kerajaan adalah orang sama… tiada beza langsung, cuma yang tukar Perdana Menteri,” katanya.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan Sabtu lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat, lapor Harian Metro.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu