Nation
127
0

Vaksin Covid-19: Rakyat Malaysia bukan mangsa uji kaji – NCSM

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia tidak dijadikan ‘mangsa uji kaji’ kerana vaksin COVID-19 telah diberikan kepada 30 juta orang di seluruh dunia dan terbukti ia selamat, kata Pengurus Besar Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M. Murallitharan.

Pengarah perubatan NCSM itu berkata sebarang penghasilan vaksin atau ubat-ubatan perlu melalui beberapa fasa percubaan untuk memastikan ia selamat digunakan.

Beliau menjelaskan vaksin COVID-19 boleh dihasilkan dalam tempoh yang singkat kerana sebahagiannya sudah ada teknologi untuk mewujudkan vaksin itu.

Memetik contoh, beliau berkata orang ramai telah mengambil vaksin selesema yang dibangunkan menggunakan teknologi yang sama dan tiada sesiapapun yang menghadapi kesan serius daripada vaksin (selesema) tersebut.

“Juga, satu daripada petunjuk yang sangat jelas berapa ramai yang telah mengambil vaksin (COVID-19). Setakat kira-kira seminggu yang lepas, lebih daripada 30 juta orang di seluruh dunia telah menerima dos tiga jenis vaksin dalam kumpulan yang besar, dan ini adalah menakjubkan… Pfizer (Pfizer-BioNTech), AstraZeneca, Moderna.

“Kita boleh lihat data dan dari segi kumpulan besar, kita lihat kesan sampingan adalah sangat sedikit. Kita tidak lihat apa-apa tanda yang menunjukkan sebarang bahaya. Sekiranya anda bimbang, 30 juta orang telah menunjukkan bahawa vaksin ini selamat digunakan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Mid Day Update Bernama TV.

Beliau menjawab soalan pengacara Jessy Chahal sama ada rakyat Malaysia dijadikan mangsa uji kaji kerana tempoh yang singkat untuk menghasilkan vaksin COVID-19.

Mengenai kepentingan mempunyai imuniti kelompok di negara ini, Dr Murallitharan berkata ia adalah untuk memastikan virus itu tidak mudah merebak kepada masyarakat.

“Apabila seseorang telah dijangkiti COVID-19, mereka berjalan-jalan dan sebarkan kepada orang lain, tetapi individu yang telah divaksin di sekeliling mereka, tidak akan mendapat virus itu.

“Apabila mereka tidak dijangkiti virus itu, mereka tidak dapat menularkannya. Jadi walaupun kita mempunyai sebilangan kecil orang yang mempunyai COVID-19, mereka tidak dapat menyebarkan virus itu kepada orang lain,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memilih jenama vaksin kerana apa sahaja yang diluluskan oleh pihak berkuasa, akan disahkan oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) demi keselamatan dan keberkesanannya.

Malaysia kini menyertai komuniti global dalam memerangi COVID-19 dengan ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech semalam, bermulanya pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu