Nation
386
0

Vaksin: Malaysia mungkin berdepan risiko batal perjanjian jika langgar syarat kerahsiaan

Kuala Lumpur – Malaysia mungkin berdepan risiko pembatalan perjanjian pembelian dan perolehan vaksin COVID-19 sekiranya negara didapati melanggar syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.

Menjelaskan perkara itu, peguam Wan Azmir Wan Majid berkata jika syarat kerahsiaan atau perjanjian ketakdedahan (NDA) adalah cadangan daripada pengeluar vaksin, negara tiada pilihan selain mematuhinya.

Beliau berkata jika berlaku pelanggaran syarat yang ditetapkan, pemungkir boleh dikenakan tindakan dan perjanjian utama (perjanjian pembelian vaksin) boleh dibatalkan.

“NDA adalah satu kontrak yang termaktub terma-terma yang merahsiakan sesuatu perkara atau perbuatan. Kesan obligasi kerahsiaan yang tidak dirahsiakan akan juga termaktub dalam NDA tersebut.

“Semua terma akan tertulis dalam NDA termasuk akibat kemungkiran (ingkar) kepada NDA itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Azmir juga tidak menolak kemungkinan kerajaan mungkin berdepan risiko lain termasuk disaman pihak pengeluar vaksin jika didapati melanggar syarat itu.

Justeru, beliau berkata perlu difahami bahawa terdapat perkara yang boleh didedah kepada umum dan ada yang perlu dirahsiakan mengikut syarat dalam perjanjian yang telah dipersetujui.

Pada sidang media perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Putrajaya hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19, termasuk kosnya secara terperinci.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli jawatankuasa itu perlu mematuhi syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kerana Malaysia tertakluk dengan syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat terbabit.

Katanya syarat kerahsiaan itu dibuat oleh syarikat pengeluar vaksin, justeru jika berlaku pelanggaran syarat, ia akan menjejaskan perjanjian dengan syarikat terbabit.

Isu berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19 turut mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan pengguna media sosial yang antara lain mahu kerajaan lebih telus dengan mendedahkan perjanjian pemerolehan vaksin. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu