Nation
139

Vaksin Pelajar: ‘Jalan keluar’ untuk kembali ke sekolah

Kuala Lumpur – Pemberian vaksin kepada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama pada tahun depan, disifatkan sebagai ‘jalan keluar’ terbaik untuk membolehkan pelajar segera kembali ke sekolah walaupun negara masih bertarung dengan angka harian kes COVID-19 yang tinggi.

Pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 18 Jun lalu, merupakan khabar gembira, seterusnya memberi sinar kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti sesi pembelajaran di sekolah sehingga menjelangnya tarikh peperiksaan.

Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas, dijangka diterima calon peperiksaan terbabit pada pertengahan Julai depan untuk dos pertama.

Sudah tentu usaha itu turut memberi kelegaan kepada guru dan ibu bapa bagi memastikan persediaan pelajar yang terjejas berikutan terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini, dapat kembali dipertingkatkan.

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh, berkata vaksin bakal diterima itu menjadi perisai terbaik pelajar khususnya calon peperiksaan, terutama dapat melindungi mereka daripada komplikasi teruk COVID-19.

Meskipun dapatan menunjukkan gejala COVID-19 yang dihadapi kumpulan kanak-kanak hingga usia 17 tahun adalah lebih ringan berbanding orang dewasa, usaha pemberian vaksin itu sangat penting untuk memberi keyakinan kepada pelajar bahawa mereka telah dilindungi sebelum kembali ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran.

Beliau menjelaskan, pelajar tidak perlu berasa bimbang dengan kesan sampingan seperti demam dan sakit kepala yang biasanya akan dialami penerima vaksin, kerana ia hanya bersifat sementara.

“Apabila tidak mengambil vaksin, risiko jangkitan COVID-19 adalah lebih besar sehingga boleh menyebabkan kesan akut dalam jangka panjang.

“Apa yang paling penting ialah apabila pelajar menerima vaksin, secara tidak langsung akan mengurangkan gangguan terhadap proses pembelajaran, sekali gus pelajar boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Dr Rosnida berkata, berdasarkan situasi semasa dan pendedahan maklumat berkaitan vaksin melalui pelbagai saluran media, pelajar kini dilihat bersikap lebih terbuka dan yakin program vaksinasi seperti yang dirancangkan, akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Lazimnya, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti calon SPM dan STPM, sudah cukup bijak serta matang dalam mencari informasi tepat mengenai vaksin daripada sumber yang sahih.

“Mereka boleh membuat keputusan sendiri dan saya rasa mereka (akan) lebih bersikap terbuka untuk menerima vaksin,” katanya.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad pula berpandangan pemberian vaksin kepada calon peperiksaan perlu lebih bersasar.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu supaya pelajar yang berkeperluan diberikan vaksinasi terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pembelajaran mereka.

“Jangkaan kasar jumlah pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini ialah kira-kira 500,000 orang.

“Oleh kerana jumlahnya yang besar dan masa pendek, sasaran (pelajar) perlu jelas, kumpulan pelajar manakah yang perlu didahulukan, dalam kalangan pelajar bandar atau luar bandar?” katanya.

Anuar berkata, sekiranya pemberian vaksin dibuat secara berperingkat, kumpulan pelajar luar bandar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses Internet, perlu diberi keutamaan.

Katanya, langkah itu perlu supaya pelajar berkenaan boleh meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

“Bagi kumpulan yang mempunyai akses Internet, buat sementara waktu boleh teruskan pembelajaran online (secara dalam talian) seperti sekarang.

“Amat diharapkan, pemberian vaksin akan disegera serta diperluaskan untuk pelajar lain (bukan calon peperiksaan). Saya yakin, kebanyakan pelajar akan mendaftar untuk menerima vaksin kerana orang muda (biasanya) lebih faham kepentingan vaksin untuk kesihatan mereka,” katanya. — Bernama

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu