Social
70

Video iklan raya promosi judi dalam talian disiasat

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penerbit dan pelakon yang terbabit dalam video promosi kegiatan perjudian bertemakan sambutan hari raya yang tular di media sosial hingga menimbulkan rasa tidak puas hati penganut Islam di negara ini.

Setakat ini, satu laporan polis sudah dibuat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas mendapati isi kandungan video itu jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata video berdurasi dua minit satu saat yang mempromosikan judi dalam talian itu dikesan tersebar sejak semalam.

“Kita akan siasat asal usul video berkenaan dan siasatan juga menjurus kepada penerbit serta pelakon yang terbabit dalam video ini.

“Kita sedang mengesan mereka dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sudah dihubungi untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai diingatkan tidak berkongsi atau menyebarkan video berkenaan melalui media sosial bagi mengelak kegusaran awam.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai video iklan berkenaan yang dianggap menghina umat Islam dan cuba mempengaruhi umat Islam bermain judi bagi mencari dana untuk pulang berhari raya.

Pelakon iklan terbabit termasuk dua wanita dilihat memakai pakaian tradisional iaitu berbaju kurung dan berbaju Melayu bagi lelaki menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mempromosi laman web perjudian.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama umat Islam kerana ia jelas menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu