Social
169
0

Video rumah agam Putin disebar di Internet

Moscow – Media mula melaporkan mengenai sebuah rumah agam bernilai AS$1.4 bilion (kira-kira RM5.6 bilion) didakwa milik Presiden Rusia Vladimir Putin.

Satu saluran Youtube memaparkan rakaman rumah mewah itu diambil menggunakan dron dan setakat ini, ia mendapat 54 juta tontonan, sejak Selasa lalu.

Portal Insider melaporkan video berdurasi dua jam itu menunjukkan sebuah rumah besar, dua helipad, sebuah rumah tamu, dan beberapa struktur lain berdekatan pesisir pantai.

Ia dimuat naik oleh Alexei Navalny, ahli politik Rusia dan pengkritik Putin yang hampir dibunuh menggunakan serangan agen saraf di Jerman tahun lalu.

Navalny yang kini ditahan di Penjara Moscow menuduh Putin secara diam-diam membina kediaman berhampiran Laut Hitam menggunakan dana haram dari rakan jutawannya.

“(Mereka) membina istana untuk bos mereka dengan wang ini,” kata Navalny dalam video itu.

Istana berkeluasan kira-kira 68 hektar dan bernilai kira-kira AS$1.4 bilion, dakwa Navalny.

Dia juga menuduh sebidang tanah bersebelahan yang lebih besar milik Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia.

Pejabat Putin tidak menepis dakwaan itu tetapi Kremlin menafikan Putin mempunyai kaitan dengan harta itu.

“Ini tidak benar. Tidak ada istana, beliau (Putin) bukan pemilik mana-mana istana,” kata jurucakap Putin, Dmitry Peskov kepada CNN.

Rumah agam itu mempunyai 11 bilik tidur, dua helipad dan gelanggang hoki bawah tanah, teater peribadi, kasino ala Las Vegas, kolam renang, sauna dan gimnasium.

Kediaman itu terletak berhampiran bandar pesisir Gelendzhik dekat Laut Hitam di selatan Russia, di bawah zon larangan terbang, menurut video itu.

Video itu dihasilkan oleh sebuah organisasi milik Navalny iaitu Yayasan Pencegahan Rasuah (FBK).

Menurut FBK, subkontraktor yang terbabit dalam pembinaan kediaman itu memberi organisasi pelan bangunan terperinci.

Untuk mendapatkan rakaman itu, pegawai FBK menaiki kapal ke Laut Hitam dan menghantar dron. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu