Social
149

Video tular 2 lelaki dipukul: Polis kesan individu terlibat

Kuala Lumpur – Polis akan mengesan dan memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan berhubung rakaman video yang tular baru-baru ini di media sosial memaparkan dua lelaki dipukul dua lelaki lain di sekitar Chow Kit, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata video berdurasi 54 saat itu memaparkan dua lelaki memukul menggunakan getah paip dan menendang dua lelaki dalam kejadian yang turut disaksikan oleh enam lelaki lain.

“Setiap individu yang terlibat dalam video berkenaan akan dikesan dan dipanggil untuk memberi keterangan. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, seorang anggota polis trafik membuat laporan polis susulan gambarnya yang tidak memakai pelitup muka di sebuah kawasan awam di ibu negara tular di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian itu pada Rabu ketika anggota berkenaan bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Tuanku Abdul Rahman 7 di sini dari 1 tengah hari hingga 10 malam.

“Anggota polis itu dikatakan baru sahaja lepas berbuka puasa bersama lima rakan sekerja lain di bawah sebuah khemah di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Esfahan, di sini.

“Selepas berbuka puasa, anggota ini menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasannya dan dipercayai gambar itu dirakam sebelum dia memakai semula pelitup muka dan helmet untuk meneruskan rondaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi oleh anggota itu terhadap individu yang merakam gambarnya kerana cuba menjatuhkan maruahnya dan Polis Diraja Malaysia. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu