Nation
31

Video tular individu keluar selepas 6 petang ditahan adalah palsu

Kuala Lumpur – Polis Kuala Lumpur mengesahkan video tular mendakwa pasukan keselamatan itu menerima arahan menahan individu yang didapati keluar rumah selepas 6 petang kecuali atas urusan kesihatan atau kecemasan adalah palsu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata berdasarkan siasatan, video yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Tiktok itu didapati telah diubah suai dengan meletakkan tangkap layar daripada sebuah artikel di laman sesawang.

Beliau berkata artikel yang bertajuk ‘Tiada kompromi lagi, keluar rumah selepas jam 7 petang kena tangkap’ itu didapati telah disiarkan secara dalam talian pada 24 Mac tahun lepas.

“Tangkap layar artikel berkenaan dipinda individu yang tidak bertanggungjawab dengan memasukkan logo PDRM, perkataan ‘Diraja Malaysian IPK KL Polis’ yang ternyata salah dan audio yang menyatakan bermula hari Ahad, sesiapa yang keluar rumah selepas jam 6 petang akan ditangkap, kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan di klinik atau hospital dan hal-hal yang membabitkan kecemasan seperti membawa orang sakit,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, turut dinyatakan orang awam yang keluar rumah selepas 6 petang untuk membeli makanan akan ditahan atas arahan Ketua Polis Negara.

Yong berkata orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan asas dan makanan pada waktu mana-mana kedai terbabit beroperasi sehingga 8 malam berdasarkan prosedur operasi standard Am Perintah Kawalan Pergerakan bertarikh 2 Jun 2021 yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Yong menasihati orang ramai agar tidak menularkan sebarang berita palsu atau maklumat yang tidak sahih.

“Individu yang dengan niat menularkan berita tidak benar berkaitan COVID-19 untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu