Social
84

Video tular lelaki amuk di klinik kesihatan video lama

Kota Bharu – Video yang tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang dikatakan mengamuk berkaitan vaksin di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor sejak Selasa lalu adalah video yang dirakam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata video tular itu telah dirakam dan menjadi tular pada 5 Julai 2020, namun kini dikesan ditularkan sekali lagi pada 1 Jun lalu menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya isu kali ini dikaitkan oleh netizen kononnya mengenai vaksin, walaupun kata-kata lelaki dalam video itu sebenarnya tidak difahami.

“Mereka membuat andaian dan persepsi bahawa kejadian amuk itu berpunca daripada doktor yang menyuntik vaksin kepada emak lelaki itu, namun emaknya dikatakan menolak. Ada juga yang mengatakan lelaki itu mengamuk kerana tidak mendapat vaksin dan sebagainya.

“JKNK ingin menegaskan bahawa lelaki dalam video berkenaan adalah pesakit Bipolar Affective Disorder dan mendapat rawatan di Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri, Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari Khamis.

Dr Zaini berkata isu sebenar lelaki itu mengamuk ialah kerana tidak berpuas hati berkaitan ibunya yang dikehendaki menjalani ujian darah ekoran siasatan lanjut penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Satu laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan setelah dia mengamuk dan membaling sebiji batu bata ke arah cermin tingkap bilik rawatan kecemasan dan bilik terapi metadone. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, lelaki itu kemudian ditahan polis,” katanya. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu