Social
912

Video tular lelaki maki hamun peniaga nasi lemak disiasat

Kuala Lumpur – Polis telah menerima laporan susulan video tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki tempatan memaki hamun peniaga nasi lemak dan anak perempuannya serta pelanggan lain di sebuah gerai di Jalan Desa Bakti, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan polis itu daripada anak peniaga gerai makanan terbabit, pada kira-kira 3.40 petang semalam.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 10.30 pagi tadi, semasa kedua-dua anak beranak itu sedang berniaga dan ia sempat dirakam seorang wanita tempatan menggunakan telefon bimbitnya, yang kemudiannya berkongsi dengan pengadu.

“Suspek dalam video ini dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain, apabila ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya dalam kenyataan.

Basri berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17 Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Pelan Pemulihan Negara 2021, kerana melanggar prosedur operasi standard.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini, kerana dibimbangi akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu atau maklumat lain mengenai jenayah supaya menyalurkannya kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan, lapor Bernama.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu