Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Video tular mengenai perhimpunan adalah video lama : KPN

KUALA LUMPUR — Video tular kononnya satu perhimpunan akan diadakan pada Khamis depan (8 Dis) adalah video lama dan ditularkan kembali pihak tidak bertanggungjawab bertujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata semakan polis mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2018 semasa isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang diperkatakan.

Beliau berkata perhimpunan yang dimaksudkan adalah perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Dis 2018 di Dataran Merdeka di sini.

“Video berkenaan ditularkan kembali oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Dis ini.

“PDRM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan,” katanya menambah kerjasama pengguna media sosial amat diperlukan bagi mengelak berita tidak benar daripada disebarkan.

Menurutnya mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penyebaran sebuah video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup dan menyatakan sebuah perhimpunan akan diadakan pada ‘8 Dis 2022’.

Acryl Sani berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Dis ini seperti yang cuba digambarkan.

Beliau turut mengulangi komitmen PDRM dalam menjamin keselamatan awam dan masyarakat dengan tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam, lapor Bernama.

Tags: , ,