Social
634

Video tular pergelutan penguat kuasa PBT, peniaga disiasat

Pasir Mas – Polis menjalankan siasatan berhubung video yang tular menyaksikan berlaku pergelutan di antara seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Mas dan peniaga nasi dalam kejadian bersebelahan Bank Islam di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya juga sedang mengesan peniaga berkenaan untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, katanya, polis sudah menerima satu laporan polis daripada seorang penolong pegawai penguat kuasa PBT berusia 33 tahun malam tadi, susulan videonya merebut telefon peniaga ketika menjalankan tugas tular, sejak petang semalam.

“Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika penguat kuasa berkenaan bersama tujuh lagi rakan setugas lain membuat operasi di lokasi berkenaan terhadap penjaja tanpa lesen.

“Ketika operasi dijalankan, seorang lelaki iaitu penjaja nasi bungkus merakam menggunakan telefon bimbiit dan penguat kuasa berkenaan cuba menghalang lelaki terbabit daripada terus berbuat demikian sehingga berlaku pergelutan.

“Ketika pergelutan, penjaja berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang penguat kuasa menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, penguat kuasa berkenaan turut memaklumkan peniaga terbabit sudah dalam pemerhatian PBT kerana berniaga di kawasan tidak dibenarkan.

Katanya, terdapat dua rekod rampasan sebelum ini oleh pihak PBT terhadap peniaga sama iaitu pada Februari dan Mac lalu dan kejadian semalam adalah rampasan kali ketiga membabitkan peniaga itu.

“Ketika kejadian, peniaga berkenaan juga dikatakan tidak memberikan kerjasama apabila diminta kad pengenalan oleh penguat kuasa untuk disaman atas kesalahan berniaga di ruang parkir selain kesalahan pengimbas suhu rosak.

“Namun, tindakan peniaga yang merakam video muka penguat kuasa sedang menjalankan tugas secara dekat menyebabkan pengadu merampas telefon bimbitnya bagi menghalangnya merakam video.

“Rampasan terhadap barang niaga peniaga terbabit ketika operasi berkenaan termasuk payung, kaki meja, banner, nasi bungkus, kuih dan pengimbas suhu,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Saya mengingatkan semua pihak jangan sembarangan suka mengambil gambar, merakam video untuk semua perkara dan kejadian dengan niat untuk meraih simpati atau mengambil kesempatan.

“Perbuatan ini tidak baik dan seolah-olah menjadi kebiasaan,” katanya. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu