Nation
178

Video tular pertikai skim lantikan doktor kontrak disiasat

Kuala Lumpur – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penularan klip video tular yang mempertikai skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas siasatan kes itu akan dilengkapkan segera dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata video bertajuk ‘Malaysian doctors on strike/mogok? 1st-12th July 2021 Code Black’ berdurasi enam minit 49 saat itu memaparkan rakaman ucapan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr Han@Gigi Han dan turut mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam mogok dikenali sebagai Code Black.

Tindakan mogok itu dilakukan dengan menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan warna hitam atau monokrom dari 1 hingga 12 Julai serta memuat naik gambar dengan tanda pagar seperti #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada Isnin lepas.

Code Black bertujuan memberikan sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut supaya diberi keistimewaan sebagaimana pegawai perubatan berstatus tetap.

“Individu berkenaan juga mendakwa sistem yang diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan,” katanya.

Abd Jalil berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana berniat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Ng Guan Seng di talian 03-8886 2222 atau pusat kawalan Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2145

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya, lapor Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu