Kuala Lumpur Post

Social

Video tular Sarjan Mejar tampar orang awam disiasat

JOHOR BAHRU — Polis akan menjalankan siasatan susulan video tular di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang didakwa melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di tempat awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 37 saat itu yang tular di media sosial, aplikasi X.

“Video tular itu dikesan pada 3.11 petang yang turut memetik nama pegawai polis terbabit serta jawatannya.

“Kita akan menyiasat perkara ini dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan dan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan video tular itu, individu terbabit yang dikatakan dilihat mengasari seorang lelaki yang sedang duduk dipercayai di sebuah restoran.

Dalam video itu, suspek dilihat menampar lelaki terbabit sebanyak sembilan kali sambil menarik rambut mangsa.

Tags: , , ,