Kuala Lumpur Post

Politics

Vigneswaran, “winnable candidate” yang disenangi masyarakat Sungai Siput

Sejak bertahun-tahun lamanya, parlimen Sungai Siput dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional yang tidak pernah gagal untuk mempertaruhkan calon dari parti komponennya, iaitu MIC dan menang dengan jayanya melalui majoriti yang kukuh.

Apa tidaknya, kerusi Sungai Siput secara tradisinya ditandingi oleh Presiden MIC sejak zaman mendiang Tun V.T Sambanthan lagi dan legasinya diteruskan oleh mendiang Tun S. Samy Vellu yang menang selama lapan penggal di parlimen itu sehingga mendapat gelaran “Singa Sungai Siput”.

Sambanthan bertanding di kerusi Kinta Utara pada tahun 1953 selepas menjadi presiden MIC sebelum Parlimen itu ditukar nama kepada Sungai Siput. Beliau terus menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sehingga tahun 1973.Samy Vellu pula yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti pada 1974, turut bertanding dan menang di Sungai Siput hingga tahun 2008.

Malangnya, kubu kuat MIC ini runtuh tanpa dijangka pada tahun 2008 apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat, menewaskan Samy Vellu dan terus mempertahankan kerusi tersebut selama dua penggal hingga 2018. Beliau kemudiannya tumpas kepada S. Kesavan dari Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 5,607 undi.

Ramai berpendapat bahawa kegagalan MIC untuk tidak mencalonkan presiden partinya untuk bertanding di parlimen Sungai Siput yang kebiasaannya dipegang presiden, merupakan kesalahan besar dalam mengatur strategi untuk merampas kembali kerusi itu.

Pada PRU-13 dan 14, MIC mencalonkan Datuk Seri S.K Devamany bagi bertanding di kerusi itu dan beliau tidak pernah memegang jawatan Presiden MIC.

Namun, semua ini bakal berubah pada PRU-15 apabila MIC telah mengambil keputusan untuk kembali ke zaman kegemilangannya dengan menurunkan presiden partinya Tan Sri S A Vigneswaran untuk bertembung dengan calon-calon dari parti lawan.

Malah, UMNO Bahagian Sungai Siput mengalu-alukan Vigneswaran bertanding mewakili Barisan Nasional di kawasan Parlimen tersebut.

Ketuanya, Datuk Mohd Zolkafly Harun memberitahu Astro AWANI bahawa UMNO Bahagian sejak dari PRU-13 sudah mencadangkan supaya kerusi tersebut diberikan kepada Presiden MIC.

“Kita atas semangat BN, keluarga BN, sebenarnya UMNO berfikiran ke hadapan.
“Kita tidak mengikut perasaan dan UMNO telah buat keputusan lebih awal lagi, bukan awal tahun ini, dari tahun lepas lagi kita sudah buat ketetapan Presiden MIC bertanding di Parlimen Sungai Siput,” kata beliau dalam laporan berita itu.

Seiring dengan kepercayaan yang diberi, bekas speker Dewan Negara itu telah pun memulakan kerja-kerja untuk memenangi hati pengundi Sungai Siput sebelum pencalonannya diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 1 November lalu.

Bahkan, sudah menjadi rutin bagi pemimpin berusia 57 tahun itu untuk meluangkan masa bersama masyarakat Sungai Siput yang terdiri daripada pelbagai lapisan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibawa ke perhatiannya.

Semasa kunjungan mengejut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ke Hospital Sungai Siput baru-baru ini, Vigneswaran yang turut bersama rombongan beliau ketika itu, mengumumkan tiga berita baik kepada masyarakat Sungai Siput.

Pertamanya, satu Klinik Kesihatan yang baharu yang akan berfungsi sebagai Klinik Pesakit Luar akan dibangunkan di sekitar Sungai Siput bagi memastikan penduduk menerima rawatan pesakit luar.

Keduanya, Dewan Bedah Hospital Sungai Siput akan dilengkapi dengan peralatan yang baru kerana alatan yang ada sekarang melebihi 20 tahun.

Berita baik yang ketiga, adalah untuk menaiktaraf Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Siput kerana blok unit kecemasan yang ada sekarang telah berusia hampir 20 tahun dan tidak dapat menampung kapasiti bagi rawatan kecemasan di Sungai Siput yang kian meningkat.

Keprihatinan Vigneswaran inilah merupakan faktor beliau disenangi semua lapisan masyarakat Sungai Siput tanpa mengira kaum dan menjadikannya winnable candidate di kawasan itu.

Yang pasti, dengan tagline ‘Sungai Siput, Kita Punya!’, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Sungai Siput tetap menjadi keutamaan Vigneswaran.

Parlimen Sungai Siput kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila tujuh orang calon, termasuk Vigneswaran, bertanding merebut kerusi berkenaan pada PRU-15.