Nation
77

Wabak Covid-19 kurangkan ancaman aktiviti keganasan : Bukit Aman

Kuala Lumpur – Pandemik COVID-19 secara tidak langsung mengurangkan ancaman kegiatan keganasan dalam negara, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman DCP Normah Ishak.

Beliau berkata keadaan tersebut dibuktikan selepas bermula awal tahun 2020 menyaksikan jumlah penurunan dalam aktiviti keganasan menerusi penglibatan langkah pencegahan dan pemantauan berterusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM melihat kepada aktiviti berkenaan yang telah kekal stabil dan berada di paras yang mampu dikawal berikutan wabak COVID-19.

”Keadaan wabak yang melanda negara itu dalam masa sama memberikan kelebihan ‘blessing in disguise’ (ada hikmah di sebaliknya) kepada PDRM meneruskan aktiviti mengenal pasti sebarang unsur keganasan berkemungkinan timbul dalam negara,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini semalam.

Beliau berkata keadaan pandemik secara global secara tidak langsung telah menukar keadaan rakyat Malaysia daripada mode selesa kepada mode kelangsungan hidup.

“Masing-masing dengan masalah kendiri, ada dibuang kerja, ada yang hutang tertunggak, ada tidak mampu membayar sewa rumah, ada tidak mampu membeli makanan dan pelbagai bentuk kesengsaraan lagi.

“Hal yang sedemikian ini secara tidak langsung telah menyebabkan urusan kehidupan terganggu dan terbantut malah ia turut melemahkan semangat penyokong keganasan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Normah berkata golongan pengganas terbabit juga terkesan dengan keadaan tidak menentu yang berlaku dalam negara serta bentuk masa hadapan yang perlu mereka lalui.

Beliau berkata situasi itu bagaimanapun tidak boleh diambil ringan berikutan ancaman keganasan sentiasa berubah mengikut keadaan dan persekitaran bersesuaian dengan mereka.

Mengulas mengenai siapa yang merekrut mereka untuk menyertai kumpulan pengganas, Normah berkata ia adalah golongan ekstremisme itu sendiri.

“Siapa lagi kalau bukan golongan yang ekstrem? Jika dalam konteks terrorism, ia berlaku secara terancang dan berstruktur. Lazimnya golongan yang menjadi sasaran para perekrut adalah mereka yang terdedah kepada eksploitasi seperti golongan remaja, belia dan ahli masyarakat yang terbiar,” katanya.

Normah berkata ada juga golongan profesional terbabit dalam gerakan itu kerana terlalu taksub kepada sesuatu pegangan yang sesat atau perjuangan sia-sia. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu