Politics
382

Walaupun dilabel pengkhianat saya tetap bantu rakyat : Mas Ermieyati

Melaka – Walaupun diilabel ‘pengkhianat’, ia tidak pernah melunturkan semangat Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk terus menabur khidmat di kawasannya.

Malah, beliau bertekad meneruskan tugas diamanahkan parti untuk menyumbang satu kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) meskipun persepsi negatif terhadapnya itu sudah bertapak sejak tiga tahun lepas.

“Sentimen pengkhianat ini sejak dahulu lagi, bukan hanya sekarang. Apapun label atau gelaran yang diberikan kepada saya sejak tiga tahun lepas, saya tetap memberikan khidmat saya untuk Masjid Tanah, saya tetap turun berjumpa masyarakat, saya tidak pernah abaikan mereka.

“Saya tetap memberikan bantuan sekiranya diperlukan walaupun hanya sehelai kertas surat sokongan, saya dah cuba yang terbaik,” katanya kepada Bernama di sini.

Meyakini tanggungjawabnya kepada rakyat telah dilaksanakan sebaik mungkin, Mas Ermieyati menyerahkan nasibnya kali ini kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara untuk menilai rekod prestasi dan hasil kerjanya selama ini.

Beliau juga tidak pernah peduli dengan label yang dilemparkan, malah lebih suka berdiam diri daripada menjawab tohmahan selain terus komited melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Tapi kalau ada pemimpin tertentu melabelkan saya pengkhianat, terserah kepada rakyat untuk menilainya, mereka telah matang dan bijaksana.

“Adakah cukup dengan label gelaran pengkhianat itu untuk menidakkan perkhidmatan saya ataupun komitmen saya terhadap warga Tanjung Bidara?,” katanya.

Mas Ermieyati mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memberi saingan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual pada 20 Nov ini.

Bekas peguam syariah yang juga Naib Srikandi Bersatu itu akan menentang calon ‘heavyweight’ dari Barisan Nasional, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

Ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) setelah dipilih sebagai calon, Mas Ermieyati berkata beliau masih mampu membahagikan tugas bagi menunaikan tanggungjawab.

“Tiada peraturan yang memerlukan saya meletak jawatan sebagai timbalan menteri, setiap manusia diberi 24 jam, ia tentang bagaimana kita mengurus masa dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita.

“Kalau dah diberi tanggunjawab tapi tak nampak batang hidung pun tak guna juga, kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat Tanjung Bidara, saya tahu bagaimana nak bahagikan tugas, ketika ini saya masih ada masa untuk berada di kawasan tiga empat kali seminggu,” katanya.

Mas Ermieyati, 45, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah sebelum ini merupakan Ketua Puteri UMNO sebelum keluar daripada parti itu pada Julai 2018, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan disahkan menjadi ahli Bersatu pada Disember 2018, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu