Social
458

‘Wan Besi’ nafi bantu Sajat lari ke Thailand

Kangar – Seorang individu yang dikenali sebagai ‘Wan Besi’ menafikan bahawa beliau terlibat membantu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat lolos ke negara jiran menerusi Padang Besar.

Peguam Zuhair Ahmad Zakuan yang mewakili lelaki berusia 51 tahun itu mendakwa bahawa anak guamnya hanya seorang penternak lembu dan sama sekali tidak terbabit dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara itu.

“Anak guam saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan jantung dan beliau kini mengusahakan ternakan lembu. Penduduk setempat mengenali beliau sebagai Wan Besi,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar, hari ini.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu mendakwa bahawa Wan Besi sebagai pengkhianat negara kerana membantu usahawan kosmetik itu melarikan diri ke Thailand.

Zuhair menyifatkan bahawa tuduhan itu adalah berat dan tidak berasas sama sekali dan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Tujuan anak guam saya datang ke sini (IPD Kangar) untuk membuat penjelasan serta membersihkan namanya dan saya akan berbincang dengan Wan Besi sama ada ingin membuat laporan polis selepas ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar DSP Mohd Anuar Junoh ketika dihubungi berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang waran tangkap kepada individu tersebut kerana kes Muhammad Sajjad dikendalikan oleh Bukit Aman.

Bernama sebelum ini melaporkan polis dalam proses memohon untuk mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan di Mahkamah Ampang, Selangor, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu