Social
237
0

Wang bertaburan atas jalan raya

Denpasar – Dua beranak di Bali kerugian lebih 94 juta rupiah (kira-kira RM27,062) selepas wang dibawa mereka bertaburan di jalan raya.

Portal Kompas melaporkan, insiden itu dilaporkan berlaku di wilayah Baturiti, Tabanan.

Ketua Polis Baturiti Fachmi Hamdani berkata, ketika itu, seorang lelaki dan anaknya menunggang motosikal bersama dan mereka dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Denpasar

Katanya, beg berwarna hitam berisi wang yang hilang itu, dibawa oleh anak mangsa.

“Ketika berhenti di wilayah Bedugul, anak mangsa mengeluarkan topi di dalam beg dan lupa menutup semula zip beg itu.

“Setibanya di wilayah Abianluang Baturiti, mereka berdua ditegur oleh pemandu trak berwarna merah yang memberitahu ada wang terjatuh dan bertaburan di jalan raya.

“Dua beranak itu kemudiannya terus memeriksa wang di dalam beg dan mendapati wang mereka sudah tiada,” katanya

Tanpa berlengah, mangsa terus berpatah balik untuk mencari wangnya yang dikatakan tercicir tetapi usahanya tidak berhasil.

Susulan insiden itu, mangsa membuat laporan polis.

Difahamkan, wang berkenaan mahu disimpan di dalam sebuah syarikat iaitu PT Manohara Asri.

Tidak lama selepas kejadian itu, tular video menunjukkan orang ramai mengutip wang yang bertaburan di jalan Denpasar-Singaraja.

Namun, Fachmi belum dapat memastikan wang berkenaan adalah milik mangsa kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

” Kita belum dapat pastikan video itu ada kaitan dengan kes kehilangan wang di Baturiti dan akan menyiasat terlebih dulu,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu