Kuala Lumpur Post

Nation

Wang caruman KWSP boleh dijadikan cagaran kepada bank : Pakar

KUALA LUMPUR — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi meyakinkan pihak institusi perbankan untuk membantu pencarum yang menghadapi masalah kewangan termasuk beban hutang, kata pakar ekonomi.

Langkah berkenaan merupakan antara pendekatan alternatif yang boleh dilakukan KWSP selain membenarkan pengeluaran wang tunai kepada pencarum seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Pakar Ekonomi University College i-CATS Kuching Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata untuk tujuan itu kerajaan perlu berbincang dengan pihak bank bagi menangani masalah kewangan yang meresahkan rakyat, sehingga timbul desakan supaya wang simpanan KWSP dikeluarkan lagi.

“Kalau kerajaan boleh arahkan bank-bank bantu mereka yang mengalami masalah hutang itu adalah lebih baik kerana sikap sesetengah bank yang tegas menyukarkan rakyat dan pihak bank perlu tahu, punca perkara ini berlaku adalah disebabkan pandemik COVID-19 dan bukannya rakyat.

“Dengan menjadikan wang simpanan di KWSP sebagai cagaran, ia akan membantu rakyat, pada masa sama (rakyat) boleh mengambil tempoh cagaran itu sebagai waktu untuk mereka bangun semula dan membina kewangan yang kukuh sedikit demi sedikit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya turut menjaga kebajikan pemimjam serta diberi keutamaan dan bukan hanya menjaga kepentingan institusi bank.

“Di mana peraturan yang boleh dilonggarkan, hendaklah dibenarkan seperti membenarkan pelanggan yang berada dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau disenarai hitam membuat penstrukturan pinjaman atau fleksibelkan mengikut kemampuan mereka dalam mengatasi masalah kewangan, ini yang kebanyakannya dihadapi oleh usahawan,” katanya.

Senada dengan Shazali, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Adilah Azhari berkata KWSP juga boleh mengurangkan kadar caruman supaya pencarum mempunyai wang lebih untuk membayar hutang dan keperluan asas lain.

“Cadangan pengurangan pemotongan caruman ini boleh dijalankan dalam beberapa bulan, contohnya selama 12 bulan dan ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka kerana caruman itu adalah mandatori.

“Contohnya bagi mereka yang mempunyai baki caruman bawah RM10,000, mungkin boleh (potongan caruman) serendah 4.5 peratus manakala yang lebih RM10,000 dalam lapan peratus,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi ia perlu terus dikreditkan kepada bank untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak atau sekurang-kurangnya melaraskan pembayaran bagi mengelak daripada muflis.

“Ini boleh dilakukan untuk memberi nafas baharu kepada mereka yang terkesan…atau pun diamanahkan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memastikan segmen ini khusus kepada yang mempunyai hutang bank supaya dijadualkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menasihatkan agar orang ramai supaya terus mengamalkan perbelanjaan berhemah, berbelanja mengikut kemampuan, dan tidak mengambil hutang baharu.

“Sentiasa tingkatkan kemahiran dan pengetahuan supaya mampu mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan gaji yang lebih tinggi, dan jika perlu bantuan, jangan segan-silu dapatkan bantuan dari mereka yang boleh membantu.

“Rakyat juga boleh mendapatkan khidmat AKPK dalam pengurusan kewangan yang lebih baik serta menyertai program upskilling dan reskilling supaya dapat meningkatkan taraf kualiti hidup,” katanya, lapor Bernama.

Tags: ,