Nation
411

Wang RM5.9 juta beli dua banglo bukan hasil aktiviti haram : Peguam Zahid

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang bagi pembelian dua lot banglo di Country Heights Kajang, Selangor bernilai RM5.9 juta oleh Yayasan Akalbudi (YAB) milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan dua ahli perniagaan dan bukan hasil aktiviti haram.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berkata wang itu disumbangkan oleh pemborong tekstil Junaith Asharab Md Shariff dan tukang emas Mubarak Hussain Akhtar Husin, yang merupakan saksi pendakwaan.

“Kedua-dua saksi telah memberi keterangan di hadapan Yang Arif. Mereka telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah. Kami berhujah bahawa pendakwaan gagal membuktikan wang RM5.9 juta itu adalah hasil aktiviti haram,” katanya di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata Mubarak sebelum ini pernah menghulurkan derma bagi pembinaan sebuah sekolah di Melaka manakala Junaith menyalurkan sumbangan kepada sebuah masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk.

Peguam itu berkata pembelaan mengakui bahawa arahan untuk membeli banglo terbabit datangnya daripada tertuduh dan kedua-duanya telah dipindah milik kepada Yayasan Al-Falah (YAF).

“Pembelaan berhujah bahawa banglo terbabit adalah sumbangan kepada YAF kerana kedua-dua Yayasan berkongsi matlamat yang sama,” katanya.

Kedua-dua banglo telah dijadikan pusat keagamaan untuk YAF, yang dimiliki keluarga Ahmad Zahid dan ia dikendalikan adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Mengikut kertas pertuduhan ke-26 yang membabitkan pengubahan wang haram, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa memberi arahan arahan dalam pembelian kedua-dua banglo dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co, yang juga hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu