Nation
208
0

Wanita berisiko tinggi sakit jantung lepas putus haid

Melaka – Golongan wanita yang putus haid atau menopaus berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari, kata seorang pakar kardiologi.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Lim Kien Chien berkata, ini kerana selepas putus haid, wanita kehilangan perlindungan hormon seks estrogen dan progesteron, yang dibebaskan daripada kelenjar terutamanya ovari, yang turut berfungsi sebagai pelindung kepada pembentukan aterosklerosis atau penyempitan dan pengerasan pembuluh darah akibat plak.

“Ini bermakna wanita mempunyai risiko yang sama tinggi seperti lelaki untuk mengalami serangan jantung, strok atau kematian mengejut selepas putus haid, dan secara amnya putus haid atau menopaus akan berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 45 hingga 55 tahun, manakala kadar purata ialah pada umur 50 tahun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut beliau, pembentukan aterosklerosis yang berlaku pada dinding salur darah arteri jantung koronari merupakan satu proses keradangan di mana kolesterol berlebihan terutamanya kolestrol tidak baik (LDL) termendap pada dinding arteri.

“Tanpa jagaan dan rawatan, proses ini berterusan dan akhirnya menyebabkan tumbesaran plak dan pembentukan sumbatan. Sumbatan plak boleh mengganggu bekalan oksigen kepada organ dalaman jantung,” katanya, menambah proses itu juga boleh berlaku pada organ lain seperti otak, buah pinggang dan otot kaki.

“Gangguan bekalan oksigen mengakibatkan antaranya sakit angin ahmar, serangan jantung, serangan otak, kegagalan buah pinggang dan kematian mengejut. Permulaan proses aterosklerosis ini juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik lain seperti kencing manis, darah tinggi, atau merokok,” katanya.
Sementara itu, Dr Lim berkata, tidak semua individu mempunyai masalah kolestrol memerlukan ubat selain paras alkohol yang boleh diterima oleh setiap individu juga berbeza.

“Amalan gaya hidup sihat termasuk kurangkan makanan berlemak atau bergoreng, selain menjaga berat badan mampu mengurangkan 20 peratus masalah kolestrol,” katanya, menambah penilaian risiko untuk seseorang mengalami penyakit kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun akan datang boleh dibuat oleh doktor menerusi kaedah ‘Framingham Risk Score’.

“Di Hospital Pantai Ayer Keroh, doktor bersedia untuk merangkumi risiko jenis bukan tradisional dalam mentafsir risiko kardiovaskular pelanggan. Salah satu gajet yang digunakan ialah ‘Coronary Calcium Score’ yang mana kiraannya melibatkan mesin pengimbas ‘CT 640 Lembaran’ yang mampu menghasilkan imej lebih jelas, cepat serta tepat selain beradiasi rendah.

“Penyakit jantung merupakan antara pembunuh utama rakyat negara ini, maka mulakan tekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan jantung sentiasa sihat, bersenamlah sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan anggaran 30 minit sehari untuk lima hari secara konsisten,” tambahnya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu