Social
656

Wanita dan teman lelaki didakwa bunuh anak

Bangi – Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak kandung teman wanitanya, bulan lepas.

N.Tanabalan, 27, dan teman wanitanya K. Puvaneswary, 30, yang kelihatan tenang, menggelengkan kepala apabila ditanya jurubahasa sama ada mereka faham Bahasa Melayu atau tidak di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah, yang bertindak sebagai Majistret.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam kemudiannya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil. Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Tanabalan dan Puvaneswary didakwa dengan niat bersama dengan sengaja membunuh S. Dhevanesh di sebuah rumah di Pangsapuri Simfoni, Semenyih, antara 14 Feb dan 18 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia, asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu