Social
208

Wanita didakwa buat laporan palsu dirogol

Kota Bharu – Seorang janda anak tiga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu kononnya dia dirogol seorang lelaki ketika sedang menjalani tempoh kuarantin Covid-19 di Pengkalan Chepa di sini minggu lalu.

Tertuduh, Siti Nashurah Mat Daud, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan maklumat palsu bahawa dia dirogol oleh Mohamad Rizwan Abdullah, 34, kepada seorang anggota polis berpangkat koperal dengan niat agar tindakan dapat diambil terhadap lelaki itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Balai Polis Pengkalan Chepa kira-kira pukul 5.58 petang pada 1 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha meminta jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Nik Nazriani dalam rayuannya memohon jaminan RM2,000 dengan alasan tertuduh seorang ibu tunggal yang tidak bekerja dan perlu menyara tiga orang anaknya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menjalani tempoh kuarantin Covid-19 di pusat kuarantin itu selepas selesai hukuman penjara selama enam bulan atas satu kes ugutan jenayah.

Ketika berada di pusat kuarantin, dia telah bekenalan dengan Mohamad Rizwan sebelum mendakwa lelaki itu telah merogolnya selama empat hari berturut-turut bermula 28 April hingga  1 Mei lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan dan keterangan terhadap mereka mendapati kejadian itu berlaku secara sukarela malah Siti Nashurah turut mengaku bahawa dia menyukai Mohamad Rizwan.

Laporan polis dibuat selepas pihak urusetia menangkap perbuatan lelaki itu yang keluar dari bilik kuarantin tanpa sebab munasabah dan melanggar peraturan pusat kuarantin. – Utusan Online

Tags: , , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu