Social
216

Wanita didakwa guna gelaran ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

Kuantan –  Seorang wanita yang menggunakan gelaran Datuk Seri Bakti Setia Temasek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini atas dakwaan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.

Tertuduh, Sabariah Hashim,45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Najwa Hashim di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

Ibu kepada enam anak itu didakwa menggunakan gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri Bakti Setia Temasek’ yang merupakan anugerah luar yang tidak diiktiraf.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan pukul 3.30 petang pada 28 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd. Azahari Mat Asin.

Mohd. Azahari meminta wang jaminan sebanyak RM5,000 yang dipohon pihak pendakwa raya dapat dikurangkan atas alasan tertuduh menyara enam anak dan seorang ibu yang sudah tua serta uzur.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 9 Jun depan. – Kosmo Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu