Social
141

Wanita dilarikan, disamun penjenayah

Kota Kinabalu – Seorang wanita berdepan detik cemas selepas dilarikan dua penjenayah sebelum disamun di Cyber City di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa berusia 60 tahun itu dikatakan baru selesai membeli barangan di kedai serbaneka sebelum masuk ke dalam keretanya.

Bagaimanapun, seorang lelaki tiba-tiba masuk dari pintu belakang sebelum mengarahkan mangsa berpindah ke tempat duduk belakang manakala seorang lagi lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kenderaan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata ketika berada di dalam kenderaan, mangsa dipaksa membongkok sepanjang perjalanan.

Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dipakainya.

“Mangsa yang bimbang keselamatannya terpaksa menyerahkan semua barangan berharga kepada suspek.

“Mangsa mendakwa, selepas kira-kira sejam perjalanan, dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana sakit belakang,” ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, sebaik diberikan kebenaran duduk, mangsa bertindak nekad membuka pintu kereta dan terjun keluar ketika kereta sedang bergerak perlahan.

Katanya, mangsa kemudian diselamatkan orang ramai di lokasi sebelum dibawa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya.

“Mangsa tidak cedera dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM17,000,” katanya.

George berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmar Zulfairie Ismail di talian 013-2618487. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu