Social
114

Wanita ditahan bantu siasatan anak asuhan mati lemas

Bukit Mertajam – Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang dijaganya meninggal dunia dipercayai kerana lemas, dalam kejadian di Taman Seri Juru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata wanita berusia 52 tahun itu ditahan pada 10 malam tadi di rumahnya selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Menurut pihak HSJ, pasukan perubatan telah menerima seorang pesakit bayi perempuan yang dibawa dengan ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari semalam.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa pada 4 petang mendapati punca kematian disebabkan lemas dalam air dan susulan itu, polis menjalankan siasatan lanjut ke atas pengasuh bayi tersebut yang merupakan ibu saudara kepada ibu si mati,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian lemas itu dipercayai berlaku di dalam tandas tingkat bawah rumah teres dua tingkat berkenaan dan semasa insiden tersebut terdapat seorang anak kepada wanita itu yang berusia 16 tahun di dalam kediaman berkenaan.

Shafee berkata menurut wanita yang ditahan itu, cucu saudaranya yang dijaga sejak sebulan lepas berada dalam keadaan tidak sihat dan muntah sebelum anaknya menghubungi ambulans untuk bantuan membawa ke hospital.

“Anak wanita itu mendakwa melihat ibunya memegang bayi perempuan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi ambulans, siasatan mendapati mangsa akan dihantar oleh keluarganya setiap Isnin hingga Jumaat pada 10 pagi sebelum dibawa pulang pada 6 petang,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini, polis merampas beberapa barang bagi membantu siasatan antaranya satu besen mandian plastik yang dipercayai digunakan untuk memandikan mangsa, kesan swab pada besen tersebut, sampel air mandian, bangku plastik, sehelai seluar dalam mangsa serta sehelai sapu tangan.

Menurutnya, wanita itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu