Social
336

Wanita ditahan cuba sogok polis RM21,000

Kuala Lumpur – Seorang wanita ditahan selepas cuba menawarkan wang tunai RM21,000 kepada dua anggota polis yang menahan tunangnya kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Wanita terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira 12.30 tengah malam tadi dan diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata wanita berusia 22 tahun cuba menawarkan wang tunai itu kepada seorang Inspektor dan Sarjan yang menyiasat kes seorang lelaki, yang ditahan petang semalam.

Beliau berkata terdahulu lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada kira-kira 5.30 petang ketika memandu sebuah kereta jenis Myvi di kawasan perumahan di Jalan Ipoh di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemukan 16 paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dan heroin dianggarkan seberat 171.58 gram dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah RM16,968.

“Keputusan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis tetrathydrocannabinol dan memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu