Social
249

Wanita ditahan, dadah ditemui dalam kereta, kondominium

Kuala Lumpur – Seorang wanita ditahan dan polis merampas sejumlah dadah yang ditemui di dalam but keretanya di Taman Danau Kota, Setapak di sini, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata wanita berusia 43 tahun itu ditahan selepas didapati memandu kereta Toyota Yaris dalam keadaan mencurigakan.

“Polis menemui syabu seberat 10 kilogram di dalam but kereta wanita itu dan hasil soal siasat membawa polis ke kondominium yang disewa wanita itu di Taman Ibukota di sini dan hasil pemeriksaan polis menemui heroin seberat 145 gram.

“Polis turut merampas lima bentuk cincin emas, tiga utas rantai tangan emas, dua utas rantai leher emas, seutas jam tangan dan wang tunai RM5,478,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas itu dianggar bernilai lebih RM396,000 dan siasatan awal polis mendapati unit kondominium itu disewa sejak empat bulan lepas dengan bayaran RM1,500 sebulan.

Wanita yang positif syabu itu direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu