Kuala Lumpur Post

Social

Wanita ditahan kes pempengaruh TikTok didakwa bunuh diri akibat buli siber

KUALA LUMPUR — Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarono Mohd Zahari, berkata tangkapan itu susulan aduan diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang kelmarin.

Beliau berkata, pengadu yang juga pengikut akaun TikTok mangsa ketika berada di Lorong Kolam Air 8 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur terlihat dua hantaran melalui dua pengguna TikTok mengeluarkan kenyataan fitnah dan ugutan terhadap mangsa.

“Kedua-dua akaun TikTok itu menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

“Siasatan polis mendapati, kejadian itu berlaku jam 10.15 malam pada 30 Jun lalu dan jam 4.10 pagi pada 1 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, kandungan hantaran itu juga mengandungi kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

“Pengadu dalam kes ini sudah menunjukkan kepada polis tangkap layar kedua-dua hantaran di TikTok berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil semakan polis mendapati dua hantaran itu disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok berkenaan,” katanya.

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan dijalankan polis berjaya menahan salah seorang suspek iaitu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun untuk membantu siasatan.

“Suspek yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor pada jam 1.45 pagi tadi.

“Wanita itu kini direman tiga hari sehingga Rabu ini dan kita dalam usaha untuk mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib),” katanya.