Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Wanita ditahan tipu tawar perkhidmatan dekorasi gubahan belon

SHAH ALAM — Polis Shah Alam menahan seorang wanita pada Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran perkhidmatan dekorasi gubahan belon untuk majlis sambutan hari lahir melalui laman Instagram miliknya, thepartyfairy.my.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata penahanan suspek berusia lingkungan 30-an itu dilakukan di sebuah kondominium di Kerinchi, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 pagi.

Mohd Iqbal berkata dalam serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa peralatan komputer dan iPad, beberapa pasang kasut, beg tangan dan cermin mata pelbagai jenama serta sampul surat putih mengandungi dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dokumen peguam.

Katanya siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menawarkan perkhidmatan dekorasi melalui Instagram sejak Julai lepas dengan harga RM500 ke atas berdasarkan jenis dekorasi permintaan mangsa.

Menurutnya, pengadu yang berminat mendapatkan perkhidmatan dekorasi telah menghubungi suspek dan telah diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun suspek, namun wanita itu gagal menyediakan perkhidmatan tersebut pada hari yang dijanjikan dan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM700.

“Semakan mendapati suspek juga terlibat dalam enam lagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur dan pihak polis meminta orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan,” katanya sambil menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan terutamanya melibatkan transaksi secara dalam talian.

Mohd Iqbal berkata suspek kini direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, lapor Bernama.

Tags: ,