KUALA LUMPUR — Seorang wanita warga India dikhuatiri terjatuh ke dalam lubang benam yang berlaku berhampiran Masjid India, di sini hari ini.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi tadi ketika mangsa sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarganya sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah sehingga menyebabkan berlakunya lubang benam itu.
Berdasarkan maklumat awal, lubang berkenaan dianggarkan sedalam 10 meter.
Tinjauan Harian Metro setakat jam 11.30 pagi mendapati operasi dua jentera bomba sudah berada di lokasi dan kerja-kerja mencari mangsa sedang giat dijalankan.
Turut kelihatan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, dan Angkatan Pertahanan Awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berada di lokasi bagi memantau operasi menyelamat.