Social
197

Wanita kahwin bapa mertua tiri

Harrodsburg – Seorang wanita di Amerika Syarikat  tidak menyangka hubungan rapat dengan bapa mertua tirinya membawa kepada bibit cinta sehingga mereka membuat keputusan untuk berkahwin, lapor akhbar The Mirror baru-baru ini.

Erica Quiggle, 31, mula rapat dengan Jeff Quiggle, 60, ketika dia mengalami masalah dalam perkahwinan pertamanya sekitar tahun 2011.

Jeff merupakan ayah tiri kepada suami Erica, Justin Towell.

Mereka mula menjadi sahabat baik dan banyak menghabiskan waktu bersama sehingga mendorong terbitnya perasaan cinta.

Beberapa tahun kemudian, perkahwinan Erica dengan suaminya, Justin  berakhir. Pada  masa yang sama, Jeff bersama turut bercerai dengan isterinya.

Enggan melukakan hati sesiapa, Erica cuba melawan perasaan tersebut, namun dia tidak mampu menyembunyikannya lagi apabila Jeff berterus-terang tentang perasaannya kepada wanita itu pada tahun 2017.

“Ia kedengaran seperti skandal. Namun, kami mempunyai perasaan cinta yang tidak dapat dinafikan.

“Walau apapun, hubungan kami sempurna. Jeff mempunyai jiwa orang muda, dan saya mempunyai jiwa orang tua,” ujarnya yang mula mengenali Jeff ketika berusia 16 tahun menerusi kakak Towell.

Sementara itu, Jeff berkata, dia telah menjumpai cinta sejatinya dalam diri Erica.

“Kami menerima diri masing-masing seadanya dan gembira dapat menghabiskan masa bersama. Kami tidak pernah melihat perbezaan umur ini sebagai satu halangan kerana telah saling jatuh cinta,” ujarnya.

Kedua-dua pasangan itu kemudiannya berkahwin pada bulan Ogos 2018 di rumah idaman mereka serta dikurniakan seorang anak perempuan.

Lebih menggembirakan pasangan itu adalah apabila Justin serta bekas isteri Jeff yang merupakan bekas ibu mertua Erica merestui hubungan tersebut dan tiada lagi persengketaan antara mereka. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu