Kuala Lumpur Post

Social

Wanita lemas ketika menyelam di Pulau Tenggol

DUNGUN — Seorang penyelam wanita meninggal dunia ketika menyelam di kawasan Tokong Timur Pulau Tenggol, kira-kira 13 batu nautika dari Kuala Dungun, semalam.

Dalam kejadian 10.15 pagi, mangsa Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, yang berasal dari Batu 9, Cheras, disahkan meninggal ketika dikejarkan ke Hospital Dungun.

Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat perumahan bersama 28 penyelam terdiri daripada 17 wanita dan 11 lelaki, menyertai aktiviti menyelam di pulau terbabit.

Sebaik kesemua peserta di arah naik ke permukaan air, seorang pengajar menyelam mendapati mangsa tidak timbul.

Pengajar menyelam itu kemudiannya bersama seorang penyelam lain turun semula ke dasar laut untuk mencari mangsa.

Mangsa ditemukan di dasar laut dalam keadaan terdampar di atas batu, sebelum dia dibawa naik ke atas bot dan diberi bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa kemudian dibawa dengan bot ke jeti Kuala Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dalam perjalanan ke Hospital Dungun sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat akan dilakukan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.