Kuala Lumpur Post

Social

Wanita lintas jalan punca nahas maut direman 2 hari

KUANTAN — Seorang wanita berusia 35 tahun yang memberhentikan kenderaan dipandu sebelum melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan maut di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur semalam, direman dua hari.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata penumpang kenderaan wanita terbabit iaitu seorang lelaki warga China berusia 37 tahun turut direman tiga hari bagi membantu siasatan.

“Mereka direman bermula hari ini bagi siasatan lanjut susulan kemalangan yang membabitkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu kenderaan pacuan empat roda itu menekan brek mengejut selepas wanita terbabit yang memandu kenderaan utiliti sukan jenis Mitsubishi Pajero Sport berhenti di bahu kiri jalan sebelum melintas ke kanan laluan itu.

“Dalam masa yang sama, motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 ditunggang mangsa datang dari arah belakang dan terus melanggar pacuan empat roda itu, sebelum mangsa terjatuh di lorong laju manakala motosikalnya tercampak ke belakang kenderaan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian, katanya.