Social
314
0

Wanita mati ditumbuk suami

Petaling Jaya – Gara-gara cemburu, seorang wanita warga asing maut selepas ditumbuk dan ditampar berkali-kali oleh suaminya di rumah sewanya di Flat Pelangi Damansara, di sini semalam.

Kejadian berlaku apabila mangsa terlihat suaminya bersama wanita lain yang juga madunya melalui video di aplikasi TikTok sehingga berlaku pergaduhan antara kedua-duanya kira-kira pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima penggilan kira-kira pukul 7.30 pagi daripada orang awam memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumah berkenaan.

“Polis yang bergegas ke lokasi mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian badan mangsa dan punca kematian masih belum dikenalpasti.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, bertindak atas maklumat, polis berjaya memberkas suspek yang juga suami mangsa di kawasan stadium Kuala Lumpur pada hari yang sama kira-kira pukul 3.10 petang.

“Hasil soal siasat ke atas suspek yang berusia 29 tahun itu, dia mengaku telah bergaduh dengan mangsa selepas mangsa ternampak dia bersama wanita lain (isteri kedua) menerusi video di aplikasi TikTok.

“Dalam pergaduhan itu, suspek turut mengaku telah menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali hingga tidak bergerak sebelum meninggalkan isterinya itu sendirian dan menuju ke Klang,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujarnya, polis turut memberkas seorang lagi wanita berusia 45 tahun di sebuah tapak pembinaan di Taman Klang Utama, Klang tiga jam kemudiannya bagi membantu siasatan.

“Wanita tersebut mengaku dia merupakan isteri kedua suspek dan telah berkahwin pada November tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Kosmo Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu