Kuala Lumpur Post

Social

Wanita maut selepas buat rawatan di pusat kecantikan

JOHOR BAHRU — Seorang wanita berusia 29 tahun meninggal dunia selepas dipercayai membuat rawatan di sebuah pusat kecantikan di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata wanita berkenaan mengalami kesakitan berterusan selepas mendapatkan rawatan di pusat kecantikan itu sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.08 pagi.

Beliau berkata susulan itu suami mangsa tampil membuat laporan polis pada hari sama kira-kira 12.31 tengah hari.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Baru-baru ini tular di laman Facebook berhubung kematian seorang wanita dipercayai akibat daripada membuat rawatan kosmetik di sebuah pusat kecantikan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon menerusi hantaran di laman Facebook hari ini memaklumkan beliau telah melawat keluarga mangsa bagi mendapatkan makluman dan memahami situasi sebenar kes melibatkan wanita dua anak itu.

Ling turut menasihati keluarga mangsa agar membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Katanya siasatan itu bagi memastikan pusat rawatan kecantikan yang dipercayai beroperasi di rumah itu mematuhi prosedur operasi standard dan mempunyai lesen profesional berkaitan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin membuat rawatan di pusat kecantikan perlu memastikan pusat berkenaan mempunyai pensijilan dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, lapor Bernama.

Tags: , ,