Nation
115

Wanita mengandung perlu dapatkan nasihat doktor untuk terima suntikan vaksin Covid-19

Putrajaya – Wanita mengandung boleh menerima suntikan vaksin COVID-19 namun perlu mendapatkan nasihat doktor serta pakar masing-masing bagi mengetahui risiko daripada proses vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Pemberian vaksin COVID-19 boleh dipertimbangkan secara “kes mengikut kes” bagi mereka yang mengandung setelah berbincang dengan doktor mereka. Doktor perlu berbincang dan mempertimbangkan antara risiko dan faedah vaksinasi,” katanya.

Dr Adham berkata pemberian vaksin COVID-19 boleh dipertimbangkan sekiranya faedah daripada vaksinasi melebihi apa-apa risiko kepada penerima vaksin dan janin di dalam kandungan.

“Vaksinasi COVID-19 semasa mengandung juga boleh dipertimbangkan jika risiko pendedahan kepada virus COVID-19 adalah tinggi dan sukar dielakkan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di sini, hari ini.

Mengenai pemberian vaksin COVID-19 kepada ibu menyusu, Dr Adham berkata tiada data yang menunjukkan sekiranya vaksin disuntik kepada ibu menyusu, ia akan memberi kesan kepada susu ibu.

“Oleh itu, sekiranya tiada kontra indikasi pemberian vaksin kepada ibu yang sedang menyusukan bayi, vaksin COVID-19 boleh diberikan kepada mereka,” katanya, sambil menambah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan amalan penyusuan susu ibu untuk kanak-kanak.

Dr Adham berkata golongan imuniti rendah boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sekiranya tiada kontra indikasi terhadap vaksin.

“Namun, mereka perlu diberi kaunseling bahawa ketiadaan maklumat terperinci berkaitan keselamatan dan efikasi vaksin sekiranya digunakan ke atas mereka.

Mereka berkemungkinan akan tidak dapat membentuk imuniti yang mencukupi untuk mencegah COVID-19 berbanding mereka yang sihat setelah vaksinasi,” katanya.

Dr Adham berkata rakyat Malaysia disarankan terus mengamalkan norma baharu walaupun setelah menerima suntikan vaksin. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu