JOHOR BAHRU — Seorang wanita kerugian RM206,900 selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai polis dan pegawai Kementerian Komunikasi, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 64 tahun pada jam 1.31 tengah hari semalam, yang mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada Julai 2023.
“Pengadu memberitahu, individu berkenaan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Kementerian Komunikasi yang mengatakan pengadu terbabit dengan kes siber, namun pengadu menafikan perkara itu, lapor BH Online.
“Kemudian, pengadu mendakwa menerima lagi panggilan telefon daripada dua individu yang mengaku sebagai pegawai polis.
“‘Tuan Omar’ dan ‘Inspektor Khoo Lee Feng’ memaklumkan bahawa pengadu terbabit dengan siasatan jenayah pengubahan wang haram sebelum meminta pengadu memberikan maklumat berkenaan akaun bank yang dimilikinya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Balveer Singh, pengadu kemudian memberikan maklumat berkaitan akaun bank miliknya serta beberapa nombor kod OTP kepada ‘Tuan Omar’ bagi tujuan siasatan dan diarahkan untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan sesiapa sehingga arahan lanjut diberikan.
Katanya, pada 6 September lalu, pengadu membuat semakan akaun di bank dan mendapati terdapat 12 transaksi pemindahan wang berjumlah RM206,900 bermula 14 September 2023 hingga 14 November 2023.
“Transaksi itu dibuat daripada akaun pengadu ke enam akaun bank berbeza dan pengadu syak dia telah tertipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Katanya, siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun jika ada, dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit.