Kuala Lumpur Post

Social

Wanita sarat mengandung, suami ditahan seludup 10kg ganja

JITRA — Seorang wanita sarat mengandung ditahan bersama suaminya selepas cuba menyeludup 10 kilogram (kg) ganja mampat dengan menyembunyikan bahan itu pada ruang kosong bawah tempat duduk penumpang kenderaan jenis pikap yang dinaiki.

Wanita berusia 35 tahun yang dijangka melahirkan anak sulung 21 Januari ini dan suaminya, 34, ditahan di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam jam 11.50 malam Ahad lalu, selepas taktik digunakan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pemeriksaan dalam pikap jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand itu menemukan ruang kosong bawah tempat duduk penumpang belakang yang kemudian disahkan mengandungi 10 balutan plastik lutsinar mengandungi ganja seberat 10kg.

Selain itu, katanya, kenderaan itu juga didapati sudah diubah suai tangkinya seperti biasa digunakan penyeludup petrol.

“Kita percaya dadah itu dibawa masuk melalui negara jiran untuk dipasarkan di kawasan utara Semenanjung.

“Berdasarkan semakan, lelaki itu mempunyai lapan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan dua kesalahan jenayah, manakala isterinya mempunyai tiga rekod kesalahan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Rodzi berkata, semakan juga mendapati pasangan berasal dari Kangar, Perlis itu sering masuk ke negara jiran setiap bulan menggunakan pas sempadan.

Nilai dadah dirampas adalah RM32,000 dan pasangan terbabit kini direman sehingga 14 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tags: , , ,