Social
181

Wanita serang pegawai MBPP ditahan

George Town – Polis Daerah Timur Laut mengesahkan penahanan seorang wanita tempatan sebentar tadi selepas dia dikatakan menyerang sekumpulan pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Ahad lalu.

Wanita berusia 58 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi berhampiran kediamannya di Pulau Tikus berdekatan lokasi kejadian di Pasar Awam Pulau Tikus di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan wanita itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat pegawai MBPP di IPD Timur Laut pada 16 Mei lalu.

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai telah digunakan wanita terbabit untuk membaling ke arah sekumpulan pegawai berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi pada Ahad lalu, beberapa pegawai MBPP telah diserang dan ditumbuk pada bahagian perut termasuk dibaling pisau oleh seorang wanita ketika pasukan terbabit menegurnya berhubung pemakaian pelitup muka dan cuba memasuki ke pasar menggunakan laluan tikus.

Kejadian tersebut berlaku semasa pegawai-pegawai MBPP sedang menutup salah satu laluan kecil di pasar berkenaan sebelum menemui wanita tersebut. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu