Social
287

Wanita terima ugutan melalui khidmat kurier

Shah Alam – Polis sedang mengesan seorang suspek yang melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita untuk menyimbah asid dan membakar rumahnya melalui nota di dalam bungkusan kurier yang dikirimkan ke sebuah alamat di Kampung Saim, Klang dekat sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie, berkata suspek turut mengugut untuk mencederakan mangsa, keluarga serta kawan-kawan mangsa selain mengirim objek berbentuk tangan dengan kesan cecair merah bersama-sama bungkusan itu yang diterima kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata mangsa berusia 29 tahun membuat laporan polis pada jam 7.30 petang hari sama.

Katanya, pengadu yang bekerja sebagai jurujual di kedai emas itu juga mendakwa dia turut menerima mesej berbaur lucah dan ugutan menerusi aplikasi WhatsApp dari nombor tidak dikenali, pada keesokan harinya.

“Pihak polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan memanggil pengadu untuk dirakamkan keterangan serta sedang mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon bimbit yang terbabit.

“Orang ramai diminta menghentikan perbuatan tidak bermoral serta menyalahi undang-undang yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu